Friday, March 5, 2010

Ibu tunggal mati dibunuh

TUMPAT- “Saya tidak sangka kemesraan arwah ketika belanja saya makan di gerai MPKB Kota Bharu beberapa hari lepas, adalah pertemuan kali terakhir saya dengannya,” kata kakak mangsa, Fatimah Husain, 62 yang menangis teresak-esak setelah melihat jenazah adik-nya, Siti Bidah, 56 yang mati dipercayai dibunuh dan disamun di Taman Harmoni Kampung Berangan dekat sini, semalam.
Seorang ibu tunggal ditemui mati dalam keadaan ngeri dipercayai dibunuh akibat disamun di rumahnya di Taman Harmoni, kampung Berangan, Tumpat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi, mangsa, Siti Bidah Hussain, 56, maut dalam keadaan meniarap di atas katil di dalam bilik tidurnya berikutan kecederaan di belakang kepala dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

Akibat kejadian tersebut, terdapat kesan percikan darah di dinding bilik tidurnya serta sarung bantal peluk mangsa berlumuran darah dipercayai luka di kepalanya setelah dipukul dengan senjata tumpul tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, mangsa maut dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dan mendapat kecederaan di belakang kepala.

“Pihak polis menerima panggilan jam 7.30 pagi daripada orang ramai mengatakan menemui mayat mangsa di rumahnya beralamat No. PT 184, Taman Harmoni, kampung Berangan, dipercayai mangsa dibunuh dan disamun.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan (bunuh) dan meminta orang ramai tampil memberi maklumat tentang kejadian ini dengan menghubungi Asisten Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali di talian 09-7257223 atau menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Kejadian mangsa dibunuh disedari jirannya, Tengku Maziah Tengku Muda, 60, yang terpaksa menggunakan kunci pendua masuk ke dalam rumah mangsa bersama seorang lagi jiran mangsa, Mariam Jaafar, 52 setelah panggilannya tidak berjawab.

Mangsa tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia hampir enam tahun lepas serta kedua anak perempuannya menetap di Kuala Lumpur dan Pahang.

No comments:

Post a Comment