Friday, March 5, 2010

Kanak-kanak 18 bulan mati dipijak

PETALING JAYA - Tidak sampai seminggu insiden tragis yang menimpa Syafia Humairah Sahari, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan mati didera dipercayai dipijak dalam satu kejadian di taman permainan Rumah Pangsa Kayu Ara, Damansara di sini, malam semalam.

Lebih malang lagi, hasil bedah siasat mendapati K Haresvarra mati akibat hati pecah selain enam tulang rusuknya patah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, di beberapa bahagian tubuh mangsa juga banyak kesan lebam dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Kecederaan dialami mangsa amat serius dipercayai dipijak dan dipukul sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati dalam tempoh yang singkat.

“Susulan daripada kes ini, kita menahan seorang lelaki tengah hari tadi (semalam) yang juga jiran kepada ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melarikan mangsa kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas ditinggalkan sebentar di rumah pengasuh oleh ibunya di Tingkat 13.

“Ibu bapa mangsa yang tinggal di Tingkat 1 tiada di rumah atas beberapa urusan dan mangsa ditinggalkan di rumah pengasuhnya kira-kira jam 9 malam.

“Bagaimanapun, pengasuh Haresvarra tiada di rumah kerana keluar membeli barang. Ketika itu yang ada hanya ibu kepada pengasuhnya yang telah uzur bersama dua cucu,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan Haresvarra, ibunya menelefon isteri suspek untuk membantu melihat keadaan mangsa yang ditinggalkan itu.

Arjunaidi berkata, sebelum ini isteri suspek pernah menjadi pengasuh mangsa selama lebih kurang dua minggu.

“Bagaimanapun, bukan isteri suspek yang muncul sebaliknya suspek sendiri pergi ke rumah pengasuh berkenaan kononnya mahu membawa mangsa membeli coklat.

“Secara kebetulan, bapa pengasuh pulang dan cuba menghalang tetapi suspek tetap berkeras dengan tindakannya. Malah mangsa juga menangis kerana enggan mengikut suspek,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, ibu mangsa menerima panggilan daripada isteri suspek mengatakan anaknya mengalami sesak nafas akibat coklat yang dimakannya.

“Suspek bersama pengasuhnya juga telah membawa mangsa ke sebuah klinik di Damansara sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika sampai di wad rawatan kecemasan PPUM,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 12.35 tengah malam semalam dan telah mengambil keterangan daripada ibu bapa mangsa serta beberapa saksi.

“Kita masih menjalankan siasatan dan masih cuba untuk mengesan saksi yang nampak kejadian berkenaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Suspek akan ditahan reman mulai esok (hari ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment