Tuesday, March 16, 2010

Netanyahu mahu terus bina penempatan haram


TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin menegaskan bahawa pembinaan penempatan Yahudi di Baitulmaqdis Timur akan tetap diteruskan.

Kenyataan terbaru Netanyahu itu dijangka memburukkan lagi ketegangan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) yang cuba menyambung semula proses damai Timur Tengah.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kemudian mengeluarkan kenyataan balas dengan menegaskan tidak akan kembali kepada rundingan damai selagi Tel Aviv enggan membekukan penempatan haram sepenuhnya.

Jabatan Negara AS enggan mengulas mengenai kenyataan Netanyahu dengan mendakwa pihaknya masih menanti reaksi rasmi daripada Tel Aviv berhubung isu berkenaan.

"Pembinaan akan diteruskan di Baitulmaqdis kerana ini adalah kes lebih 42 tahun lalu," kata Netanyahu.

Israel menceroboh dan menguasai Baitulmaqdis Timur semasa Perang Enam Hari 1967 dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Keputusan Tel Aviv mengumumkan pembinaan 1,600 unit rumah baru kepada pendatang Yahudi di Baitulmaqdis Timur minggu lalu mencetuskan kemarahan Washington.

No comments:

Post a Comment